Pengalaman pelik ini telah aku lalui kira-kira 8 bulan yang lalu. Masa itu aku masih berduka dengan sebuah kehilangan yang telah merampas suku daripada semangat hidupku sehingga kini. Aku selalu menangis sendirian ataupun ditemani suamiku apabila teringat akan kehilangan yang belum dapat kulupakan waktu itu. Kerana ia terlalu segar diingatanku.
Kejadian ini berlalu sebanyak 2 kali. Masa itu aku terlalu leka melayan perasaan sedihku. Banyak perkara yang tidak aku endah. Setiap hari aku teringatkan hal menyedihkan itu. Dalam masa yang sama, aku gagahkan langkah kakiku.
Pada kejadian pertama, aku bersendirian di rumah. Waktu itu sekitar jam 10 malam. Suamiku berada di luar. Aku sedih sehingga tertidur di sofa ruang tamu. Dalam keadaan separuh sedar, aku rasakan seseorang hadir merenungku. "Dia" berdiri di belakang sofa dan sedang merenungku yang sedang terbujur baring di atas sofa. Aku terbangun dan tercari-cari. Siapakah yang merenungku tadi? Yang pasti, bukan suamiku yang aku cari. Ia adalah seseorang yang lain. Aku tidak berfikir panjang. Aku hanya mengabaikan perkara itu lalu menyambung semula tidurku di kamar. Syukur tidurku nyenyak selepas itu.
Kejadian kedua berlaku selang beberapa hari selepas kejadian pertama. Aku tidak ingat berapa jumlah selangnya. Tetapi kejadian kedua menyebabkan aku sedikit kisah akan hal ini.
Kali keduanya berlaku semasa aku sedang menunggu suami pulang. Kejadian lebih kurang jam 9 malam. Aku tidur di kamar tetapi kubiarkan pintu kamar terbuka. Supaya senang dengar dan menyambut kepulangan suamiku nanti. Perkara yang sama telah berlaku. "Dia" datang semasa aku tidur dalam keadaan separuh sedar. Dari ruang tamu, dia merenungku yang sedang berbaring di atas tilam. Renungannya tidak beremosi. Seakam normal. Bukan marah, bukan sedih. Hanya memandangku tanpa kata-kata. Sosok badannya seperti seorang wanita berumur lingkungan 50 tahun ke atas. Tidak pasti bertudung atau tidak. Kerana kalau tidak bertudung, rambutnya yang seakan beruban (keputih putihan) mungkin sedang diikat kemas. Tetapi keadaannya kelihatan putih dari atas kepala hingga ke kakinya. Rapi penampilannya. Aku terbangun dan ya. Aku tercari-cari siapa dia.
Kejadian kali kedua ini menyebabkan aku sedikit kisah tentang hal ini. Mungkin juga takut. Mungkin juga ingin berjaga supaya "dia" tidak hadir untuk kali ke 3 dan seterusnya. Aku tidak menyambung tidurku menunggu suami pulang.
Setibanya suami, aku menceritakan kejadian ini kepadanya. Pada mulanya aku abaikan kerana mungkin ia hanya perasaanku. Tetapi kejadian kali kedua ini menyedarkan aku. Suami menasihatkanku supaya memperbanyakkan doa memohon perlindungan Allah daripada gangguan makhluk ghaib.
Selepas 2 kejadian pelik ini berlaku, aku tidak pernah lagi tidur di ruang tamu atau tidur dengan pintu bilik terbuka tanpa suamiku. Aku sedikit takut akan apa yang berlaku.
Kejadian ini mengajarku sesuatu. Jangan terlalu lama meratapi kesedihan disebabkan sebuah kehilangan. Kerana ia boleh melalaikan. Tetapi dengan mengingati Allah, In sha Allah semuanya dapat diatasi dengan baik.
Memang tidak dinafikan bahawa makhluk ghaib ini juga wujud bersama kita. Cuma sifat mereka berbeza dan kita telah dipisahkan oleh Allah dari mereka. Mereka ghaib di mata manusia. Hanya orang-orang terpilih yang dapat melihat sesuatu yang bersifat rahsia di sisi Allah dengan izinNya. Terkadang mereka boleh hadir dalam keadaan kita leka. Tetapi sentiasalah minta perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari perbuatan jahat jin, syaitan dan iblis.