Kisah benar ini telah berlaku di pejabat aku sendiri di mana rakan sekerjaku telah terkunci semasa di dalam tandas. Kejadian itu masih menjadi misteri sehinggalah ke hari ini. Tiada siapa yang mengaku atau tahu siapa dan apa yang telah membuat kunci di luar tandas itu terkunci dengan rapi semasa rakanku berada di dalam tandas itu.
Kejadian ini berlaku pada waktu tengahari. Semasa kebanyakkan kakitangan pejabat berada di luar pejabat kerana waktu rehat. Hanya 4 orang kami yang tinggal di tingkat atas pejabat pada waktu itu. Kakak cleaner sudahpun meninggalkan pejabat pada waktu itu kerana waktu kerjanya hanyalah sehingga jam 12 tengahari setiap hari.
Keadaan pejabat pada masa itu adalah sedikit gelap kerana kami mengamalkan penjimatan elektrik terutamanya pada waktu rehat. Hanya ada beberapa lampu yang menerangi ruangan. Suasana pun sunyi kerana rakan lain tidur.
Pada masa itu aku berada di tingkat bawah pejabat atas urusan tertentu. Selesai urusan, aku pun naik ke tingkat atas. Tiba-tiba terdengar sayup suara seperti memanggil meminta pertolongan. "Tolong..Siapa ada di luar..." Aku pun tercari-cari juga dari mana arah suara itu. Rupa-rupanya suara itu dari arah dalam tandas. "Aik, kenapa itu?" aku ingin memastikan apa berlaku. "Tolong buka. Siapa kunci saya dari luar" Katanya.
Rupanya itu adalah suara salah seorang daripada rakan sekerja aku. Aku pun terus membuka kunci tandas luar itu. Aku tertawa kerana aku masih berfikiran bahawa hal ini adalah prank. "Mungkin ada seseorang yang ingin mempermainkan rakanku ini" fikirku.
Setelah mencari-cari dan bertanya beberapa orang kakitangan di pejabat akan siapakah yang mungkin telah melakukan prank ini, tiada seorang pun yang mengaku melakukan hal itu. Sehinggalah rakanku yang menjadi mangsa kuncian tadi bertanya di group whatsapp untuk mendapatkan jawapan. Tetapi tiada juga yang tahu.
Mulalah berdebar rasa jantungku. Siapakah makhluk yang telah melakukan hal sedemikian. Tidak dapat aku fikirkan dengan rasional. Kerana kuncinya terkunci sangat rapi dari sebelah luar tandas. Hanya tinggal masukkan kunci mangga sahaja jika perlu. Bagaimana pula rakanku boleh menutup pintu tandas dari dalam jika sekiranya kunci pintu dari luar itu menghalang untuk pintu ditutup rapat?
Itu adalah kejadian pertama yang berlaku. Kejadian yang sama juga telah berlaku kali ke dua. Di tempat yang sama dan ke atas mangsa yang sama. Tetapi rakan sekerja lain yang telah membuka kunci tandas dari luar pada kejadian kali kedua itu. Sempat kami mengusik mangsa itu "mungkin benda itu suka kamu". Tetapi sebenarnya kami takut.
Perkara ini tidak dibiarkan oleh bos kami. Dia telah membuat majlis bacaan Yaasiin dan doa supaya pejabat kami selamat dan terhindar dari kejadian yang tidak diingini. Kunci tandas luar itupun telah dibuang bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali.
Tidak dinafikan bahawa sebenarnya makhluk ghaib ini ada di mana-mana terutamanya di tempat yang jarang ditinggal seperti rumah terbiar, pejabat dan sebagainya. Biarpun kita datang ke pejabat setiap hari, itu hanyalah pada waktu siang. Siapa pula yang ada di pejabat pada waktu malam?
Hanya Allah yang tahu akan hal-hal ghaib. Hanya sedikit perkara ghaib ini menjentik hidup kita sebagai manusia. Itupun dengan izin Allah S.W.T. Bagaimanapun kita takut "mereka" tetapi "mereka" juga di bawah bidang kuasa agung Allah. Siapa yang lebih kita takuti melainkan Dia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan