Ahad, 18 Oktober 2020

Kisah Seram. "Dia" Datang Melawat.

Pengalaman pelik ini telah aku lalui kira-kira 8 bulan yang lalu. Masa itu aku masih berduka dengan sebuah kehilangan yang telah merampas suku daripada semangat hidupku sehingga kini. Aku selalu menangis sendirian ataupun ditemani suamiku apabila teringat akan kehilangan yang belum dapat kulupakan waktu itu. Kerana ia terlalu segar diingatanku.

Kejadian ini berlalu sebanyak 2 kali. Masa itu aku terlalu leka melayan perasaan sedihku. Banyak perkara yang tidak aku endah. Setiap hari aku teringatkan hal menyedihkan itu. Dalam masa yang sama, aku gagahkan langkah kakiku.

Pada kejadian pertama, aku bersendirian di rumah. Waktu itu sekitar jam 10 malam. Suamiku berada di luar. Aku sedih sehingga tertidur di sofa ruang tamu. Dalam keadaan separuh sedar, aku rasakan seseorang hadir merenungku. "Dia" berdiri di belakang sofa dan sedang merenungku yang sedang terbujur baring di atas sofa. Aku terbangun dan tercari-cari. Siapakah yang merenungku tadi? Yang pasti, bukan suamiku yang aku cari. Ia adalah seseorang yang lain. Aku tidak berfikir panjang. Aku hanya mengabaikan perkara itu lalu menyambung semula tidurku di kamar. Syukur tidurku nyenyak selepas itu.

Kejadian kedua berlaku selang beberapa hari selepas kejadian pertama. Aku tidak ingat berapa jumlah selangnya. Tetapi kejadian kedua menyebabkan aku sedikit kisah akan hal ini. 

Kali keduanya berlaku semasa aku sedang menunggu suami pulang. Kejadian lebih kurang jam 9 malam. Aku tidur di kamar tetapi kubiarkan pintu kamar terbuka. Supaya senang dengar dan menyambut kepulangan suamiku nanti. Perkara yang sama telah berlaku. "Dia" datang semasa aku tidur dalam keadaan separuh sedar. Dari ruang tamu, dia merenungku yang sedang berbaring di atas tilam. Renungannya tidak beremosi. Seakam normal. Bukan marah, bukan sedih. Hanya memandangku tanpa kata-kata. Sosok badannya seperti seorang wanita berumur lingkungan 50 tahun ke atas. Tidak pasti bertudung atau tidak. Kerana kalau tidak bertudung, rambutnya yang seakan beruban (keputih putihan) mungkin sedang diikat kemas. Tetapi keadaannya kelihatan putih dari atas kepala hingga ke kakinya. Rapi penampilannya. Aku terbangun dan ya. Aku tercari-cari siapa dia. 

Kejadian kali kedua ini menyebabkan aku sedikit kisah tentang hal ini. Mungkin juga takut. Mungkin juga ingin berjaga supaya "dia" tidak hadir untuk kali ke 3 dan seterusnya. Aku tidak menyambung tidurku menunggu suami pulang.

Setibanya suami, aku menceritakan kejadian ini kepadanya. Pada mulanya aku abaikan kerana mungkin ia hanya perasaanku. Tetapi kejadian kali kedua ini menyedarkan aku. Suami menasihatkanku supaya memperbanyakkan doa memohon perlindungan Allah daripada gangguan makhluk ghaib. 

Selepas 2 kejadian pelik ini berlaku, aku tidak pernah lagi tidur di ruang tamu atau tidur dengan pintu bilik terbuka tanpa suamiku. Aku sedikit takut akan apa yang berlaku. 

Kejadian ini mengajarku sesuatu. Jangan terlalu lama meratapi kesedihan disebabkan sebuah kehilangan. Kerana ia boleh melalaikan. Tetapi dengan mengingati Allah, In sha Allah semuanya dapat diatasi dengan baik. 

Memang tidak dinafikan bahawa makhluk ghaib ini juga wujud bersama kita. Cuma sifat mereka berbeza dan kita telah dipisahkan oleh Allah dari mereka. Mereka ghaib di mata manusia. Hanya orang-orang terpilih yang dapat melihat sesuatu yang bersifat rahsia di sisi Allah dengan izinNya. Terkadang mereka boleh hadir dalam keadaan kita leka. Tetapi sentiasalah minta perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari perbuatan jahat jin, syaitan dan iblis.

Gambar Sekadar Hiasan
Sumber: Google images

Antara doa dan zikir yang boleh diamalkan untuk memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan serta perbuatan jahat makhluk ghaib dan manusia ialah:

1. Surah Al-Fatihah
Sumber : Google images

2. Surah Al Ikhlas
Sumber: Google images

3. Surah Al Falaq
Sumber: Google images

4. Surah An Nas
Sumber: Google images

5. Zikir Pendinding Diri

Sumber: Google images

Bacalah doa dan zikir ini dengan penuh dalam khusyuknya memohon perlindungan dari Allah S.W.T. Sesungguhnya Dia maha Mendengar lagi maha Melindungi dan yang maha Berkuasa atas segala-gala yang ada di langit dan di bumi. Dia tahu apa yang ada di dalam hati setiap insan. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan perlindunganNya.






Isnin, 12 Oktober 2020

Bunyi Siren Ambulans

Sedang aku bersendirian di rumah, tiba-tiba ambulans dengan bunyi siren yang kuat lalu. Ia memecahkan lamunanku. Banyak perkara menyedihkan bermain di fikiranku. Ambulans. Ya, itu pasti kecemasan. Biasanya kita akan cemas saat berlaku kebakaran, kehilangan atau kemalangan saja. Tetapi situasi sekarang ini berbeza. Perasaan cemas, bimbang, risau dan tertekan menyatu disebabkan satu gejala musuh dunia.

Kemarin, 11.10.2020 bersamaan hari ahad. Angka kes baru bertambah 488 kes dengan 2 kematian di Sabah. Hampir semua daerah di negeri ini telah dijajah oleh sang musuh yang sangat kecil. Kecuali 3 daerah yang masih hijau iaitu Kota Marudu, Tongod dan Nabawan. 

Angka ini kian bertambah setiap hari. Kerisauanku semakin menggunung. Aku sayangkan keluargaku dan semua insan baik di sekelilingku. Apa mungkin akan berlaku beberapa bulan akan datang? Semoga KITA MENANG. Dan sebagai doa, KITA MESTI MENANG dan PASTI MENANG.

Banyak yang berkorban di waktu ini. Frontliners yang terus berjuang, keluarga yang masih terpisah, suami atau isteri yang berada di perantauan, anak yang bekerja di luar daerah, pekerja yang kehilangan kerja, keluarga yang hilang sumber pendapatan. Keadaan ini sangat menyedihkan. Tidak seperti keadaan sebelum kehadiran wabak bahaya ini.

Sudah hampir 8 bulan kehidupan kita bersama wabak ini. Cara hidup kita juga berbeza. Pergerakan kita juga terbatas. Aku akui, aku sangat merindukan kehidupan biasa sebelum kewujudan virus berbahaya ini. Airmata pun ingin akan berderai jika ikutkan hati. Tetapi sekarang kita perlu meneruskan hidup dalam norma baru di samping terus sama-sama berjuang melawan virus ini. Apakah Allah (Tuhan) marah kita? 

Esok, 13.10.2020 bermula PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di seluruh negeri Sabah. Semoga kita menang. Kerjasama semua kita adalah perlu supaya kita dapat putuskan rantaian virus berbahaya Covid-19 ini. Bukan saja di negeri Sabah, tetapi di seluruh Malaysia dan seluruh dunia. STAY AT HOME

Wabak corona virus Covid-19 telah menguasai dunia.
Sumber: Google


Doa supaya dijauhkan dari wabak berbahaya:


Banyakkan membaca doa ini di samping perbanyakkan Istighfar (Memohon ampun kepada Allah, Tuhan)
        





Jumaat, 2 Oktober 2020

Kisah Seram Di Pejabat

 Kisah benar ini telah berlaku di pejabat aku sendiri di mana rakan sekerjaku telah terkunci semasa di dalam tandas. Kejadian itu masih menjadi misteri sehinggalah ke hari ini. Tiada siapa yang mengaku atau tahu siapa dan apa yang telah membuat kunci di luar tandas itu terkunci dengan rapi semasa rakanku berada di dalam tandas itu. 

Kejadian ini berlaku pada waktu tengahari. Semasa kebanyakkan kakitangan pejabat berada di luar pejabat kerana waktu rehat. Hanya 4 orang kami yang tinggal di tingkat atas pejabat pada waktu itu. Kakak cleaner sudahpun meninggalkan pejabat pada waktu itu kerana waktu kerjanya hanyalah sehingga jam 12 tengahari setiap hari.

Keadaan pejabat pada masa itu adalah sedikit gelap kerana kami mengamalkan penjimatan elektrik terutamanya pada waktu rehat. Hanya ada beberapa lampu yang menerangi ruangan. Suasana pun sunyi kerana rakan lain tidur. 

Pada masa itu aku berada di tingkat bawah pejabat atas urusan tertentu. Selesai urusan, aku pun naik ke tingkat atas. Tiba-tiba terdengar sayup suara seperti memanggil meminta pertolongan. "Tolong..Siapa ada di luar..." Aku pun tercari-cari juga dari mana arah suara itu. Rupa-rupanya suara itu dari arah dalam tandas. "Aik, kenapa itu?" aku ingin memastikan apa berlaku. "Tolong buka. Siapa kunci saya dari luar" Katanya. 

Rupanya itu adalah suara salah seorang daripada rakan sekerja aku. Aku pun terus membuka kunci tandas luar itu. Aku tertawa kerana aku masih berfikiran bahawa hal ini adalah prank. "Mungkin ada seseorang yang ingin mempermainkan rakanku ini" fikirku.

Setelah mencari-cari dan bertanya beberapa orang kakitangan di pejabat akan siapakah yang mungkin telah melakukan prank ini, tiada seorang pun yang mengaku melakukan hal itu. Sehinggalah rakanku yang menjadi mangsa kuncian tadi bertanya di group whatsapp untuk mendapatkan jawapan. Tetapi tiada juga yang tahu.

Mulalah berdebar rasa jantungku. Siapakah makhluk yang telah melakukan hal sedemikian. Tidak dapat aku fikirkan dengan rasional. Kerana kuncinya terkunci sangat rapi dari sebelah luar tandas. Hanya tinggal masukkan kunci mangga sahaja jika perlu. Bagaimana pula rakanku boleh menutup pintu tandas dari dalam jika sekiranya kunci pintu dari luar itu menghalang untuk pintu ditutup rapat?

Itu adalah kejadian pertama yang berlaku. Kejadian yang sama juga telah berlaku kali ke dua. Di tempat yang sama dan ke atas mangsa yang sama. Tetapi rakan sekerja lain yang telah membuka kunci tandas dari luar pada kejadian kali kedua itu. Sempat kami mengusik mangsa itu "mungkin benda itu suka kamu". Tetapi sebenarnya kami takut.

Perkara ini tidak dibiarkan oleh bos kami. Dia telah membuat majlis bacaan Yaasiin dan doa supaya pejabat kami selamat dan terhindar dari kejadian yang tidak diingini. Kunci tandas luar itupun telah dibuang bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali. 

Tidak dinafikan bahawa sebenarnya makhluk ghaib ini ada di mana-mana terutamanya di tempat yang jarang ditinggal seperti rumah terbiar, pejabat dan sebagainya. Biarpun kita datang ke pejabat setiap hari, itu hanyalah pada waktu siang. Siapa pula yang ada di pejabat pada waktu malam?

Hanya Allah yang tahu akan hal-hal ghaib. Hanya sedikit perkara ghaib ini menjentik hidup kita sebagai manusia. Itupun dengan izin Allah S.W.T. Bagaimanapun kita takut "mereka" tetapi "mereka" juga di bawah bidang kuasa agung Allah. Siapa yang lebih kita takuti melainkan Dia.

Sumber: https://www.slideshare.net/Jackal7114/doa-mengelak-gangguan-syaitan-jin-pada-anak2


Dunia seram sejuk

Kisah Seram. "Dia" Datang Melawat.

Pengalaman pelik ini telah aku lalui kira-kira 8 bulan yang lalu. Masa itu aku masih berduka dengan sebuah kehilangan yang telah merampas su...